preload

Jangan cinta kerana dia lelaki..
Kelak kau akan membenci..
Jika dia bukan lelaki yang dicari..
Hanya pandai menabur janji..

Jangan dirindu pada paras rupa..
Kelak kau akan terseksa..
Jika dia tidak sebaik rupanya..
Senyumnya manis tipu belaka..

Jangan disayang kerana berharta..
Kelak kau hidup menderita..
Jika hartanya habis dibelanja..
Sukarnya hidup miskin dan papa..

Jangan dikasih kerana dipuji..
Kelak kau menagih janji..
Jika rupa berkedut dimamah hari..
Hilang sudah puji memuji..

Jangan dicari seorang kekasih..
Kelak kau akan disisih..
Jika kasih luntur bersih..
Menangislah diri hidup bersedih..

Jangan disambut salam rindu..
Kelak kau menahan sendu..
Jika rindu tak dapat disatu..
Di manakah akan kau mengadu..

Jangan dilayan seorang teman..
Kelak hidup menjadi ancaman..
Jika teman tidak beriman..
Dibakar api dihari kemudian..

Wahai sahabat wahai teman..
Carilah dia kerana Tuhan..
Untuk menambah ceteknya iman..
Bekalan diri hidup berteman..

Wahai sahabat wahai teman..
Cintailah dia kerana beriman..
Dijadikan Tuhan sebagai pasangan..
Baik buruk ketentuan Tuhan..

Wahai sahabat wahai teman..
Terimalah dia penuh keikhlasan..
Andai buruk anggaplah dugaan..
Andai baik pujilah Tuhan..

Wahai sahabat wahai teman..
Ingatlah akan janji Tuhan.
Isteri yang baik besar balasan..
Suami penyabar itulah kemenangan..

Andai keihklasanmu diragui, andai kejujuranmu dikhianati, andai kesabaranmu diuji, andai kasih sayangmu tak dihargai, andai pengorbananmu tiada erti.. Jangan sekali-kali membalas kejahatan dgn kejahatan, kesakitan dgn kesakitan, kebencian dgn kebencian.. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama org2 yg sabar..

"Bertakwalah kepada ALLAH di mana kau berada & sambunglah perbuatan jahat itu dgn kebaikan supaya terhapus (kejahatannya), & bergaullah sesama manusia dgn budi yg baik (akhlak yg baik)."
[ Riwayat At-Tirmidzi ]

Read More...

Hatiku Sebesar Cawan

Published in:


" Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..? " lelaki itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan. Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.

Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua. Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa basah dan sejuk. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia, " bagaimanakah boleh ku nikmati hidup begitu juga? " . Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.

Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.

" Anak muda... " lelaki tua itu bersuara .

" Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam. " ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut. Cawan diambil...air diisi...dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.

" Sekarang kamu minumlah air tersebut ". Dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.

" Apa rasanya? ", tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.

" Masin! " lelaki tua itu tersenyum lagi.

" Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu, dan kamu hiruplah airnya. "

Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air di cedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.

" Apa rasanya, anakku? " soal lelaki tua itu.

" Tawar, tidak masin seperti tadi ", lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.

" Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kemu berbuat begitu tadi? " tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.

" Anakku, beginilah perumpamaan kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah, dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita.Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum, sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita.Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri " .

Maka, pada petang itu. lelaki itu pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji, akan sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada!!!!

Read More...

Kehidupan..

Published in:

Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan.

Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.

Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang tersebut penuh,dan pelajarnya menjawab “ya!”.

Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang balang tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf.

Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab “ya…”

Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut. Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf.

Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh. Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab “Ya..”

Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam balang yang telah sedia ada diisi batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum meihat tindakan profesor tersebut.

“Sekarang…” profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan.

“Saya mahu anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan anda. Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan kawan dan semangat anda. Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh. Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil.”

“Jika anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu…” “… anda tidak akan mempunya ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda. Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda.”

“Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda. Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain. Sila ambil berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir…”

Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi. Profesor tersebut tersenyum.


“Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan…”

Read More...

Aku ada satu cerita...

Published in:

Keindahan yang hakiki datangnya dari hati yang ikhlas bukan dari pandangan seseorang. Seorang wanita di lapangan terbang sedang menunggu waktu penerbangannya. Sambil menunggu dia makan biskut yang dibelinya sebelum itu dan membaca buku cerita. Sedang dia makan dia terperasan yang lelaki disebelahnya turut mengambil biskut dari bungkusan yang sama yang terletak disebelahnya.

Setiap keping biskut yang dia ambil lelaki itu turut mengambil sama. Didalam hati wanita itu menyumpah-nyumpah lelaki itu. Alangkah tak malunya lelaki ni.....dah la tak mintak dari aku....makan sama banyak dengan aku pulak tu...Pencuri! !!! rungut wanita itu dalam hati.

Dalam pada itu lelaki itu dengan muka yang tenang terus dengan perbuatannya. Hinggalah sampai ke biskut yang terakhir terdapat dalam bungkusan itu. Wanita itu menunggu reaksi dari lelaki itu. Sambil tersenyum lelaki itu mengambil biskut yang terakhir itu lalu dipatah dua lantas memberikan separuh darinya kepada wanita itu.

Wanita itu menjadi begitu marah namun dia tetap menahan dirinya darimememarahi lelaki itu. Sambil merampas dengan kasar biskut yang separuh itu dan menunjukkan mukanya yang masam mencuka wanita itu berkata dalam hatinya. Berani sungguh lelaki ni. Memang muka tak malu. Pencuri besar!!

Kedua- dua wanita dan lelaki itu terus duduk sehingga panggilan untuk menaiki pesawat untuk wanita itu sampai. Sambil menarik nafas lega seolah baru lepas dari satu kejadian ngeri wanita itu bergerak menaiki pesawatnya.

Apabila dia sampai ditempat duduk nya beliau membuka beg kecilnya untuk mengambil barang.Alangkah terkejutnya dia bila melihat satu bungkusan biskut berada di dalam begnya masih elok belum terbuka. Jika biskut ni ada dalam beg aku jadi bermakna biskut yang aku makan tadi.....Ya ...biskut yang dimakannya tadi adalah kepunyaan lelaki itu.

Alangkah malunya dia atas segala tindakannya terhadap lelaki itu. Lelaki itu telah sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang terakhir biar pun dari awal lagi wanita itu telah menunjukkan reaksi marahnya. Untuk meminta maaf sudah terlambat namun hatinya penuh kekesalan kerana bersifat kedekut dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenar...


Selalunya.. apabila sudah tersedar.. segala-galanya telah terlambat...

Read More...

About Me

Aku yang masih berkelana.. Di dalam penjara dunia.. Mencari jalan ke syurga.. Terjerat di jaring neraka.. Tersembam di lembah noda.. Kini bangkit mencuci dosa.. Rahmat Allah tiada penghujungnya..

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Suasana yg paling indah ialah di kala mlm mnjelma.. di saat manusia sedang lena.. di ketika hati merindui Penciptanya...